ONELIFE, The GrEaTest BuSiNes EveR !!

Friday, April 16, 2010

7. SAMB....Pada Yang Masih Ada Ibu Bapa


SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Syariah , di sini, semalam diberitahu seorang
pensyarah sebuah universiti dan suaminya yang sebelum ini bersetuju
memenuhi beberapa tuntutan termasuk menyara nafkah sepanjang hayat ibu
bapanya, pendapatannya tidak mampu menampung perbelanjaan bulanan mereka.

Raja Suzana Kassim, 39, berkata pendapatan bulanannya berjumlah RM4,400
tidak mencukupi untuk menampung semua perbelanjaan menyebabkan kekurangan
itu terpaksa ditampung pendapatan suaminya, Zulazli Hashim, 43.

Selain itu, dia turut memaklumkan mahkamah mengenai beberapa pinjaman bank
termasuk pinjaman peribadi dan peruntukan gaji yang dibelanjakan untuk
makanan, pakaian dan keperluan lain serta membayar insurans pendidikan
anak-anaknya.

Menurutnya, dia memiliki tiga kereta, namun hanya sebuah masih belum
selesai bayaran ansuran dengan bank.


Raja Suzana dan Zulazli sebagai defendan pertama dan kedua menghadapi
tuntutan daripada pesara, Kassim Othman, 72, dan isteri, Fatimah Salleh,
64, di mahkamah berkenaan pada April 2007 kerana didakwa memungkiri janji
dan mengusir mereka dari rumah yang dipindah milik kepada anak dan
menantunya itu.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Kassim yang juga plaintif pertama
dianugerahkan sebidang tanah oleh kerajaan negeri di Kampung Jiboi Baru ,
Ampangan, di sini, sekitar Ogos 1971.

Plaintif pertama dan kedua ( Fatimah ) mendakwa mereka mendirikan sebuah
rumah di atas tanah itu dan membesarkan lapan anak termasuk defendan
pertama.

Mereka turut memaklumkan defendan pertama dan kedua mendirikan rumah
tangga pada 1993.

Pada 2002, plaintif pertama bersetuju untuk memindah pemilikan tanah
kepada defendan selepas mereka berjanji, antara lain menanggung nafkah
plaintif selagi mereka hidup serta membenarkan kedua-dua plaintif tinggal
di rumah itu.

Bagaimanapun, defendan memungkiri janji dan mengabaikan kebajikan plaintif
.

Pada mulanya, plaintif dibenarkan tinggal di rumah itu tetapi layanan
defendan begitu mengecewakan sebelum mereka diusir keluar oleh defendan
pada akhir Ramadan 1425 Hijrah.

Pernyataan tuntutan itu turut menyatakan berlaku kejadian defendan pertama
melakukan kekasaran terhadap plaintif kedua menyebabkan dia cedera. Satu
laporan polis dibuat berikutan kejadian itu.

Dalam pernyataan itu turut menyebut keadaan itu menunjukkan defendan
gagal, abai atau cuai untuk memenuhi janji selepas tanah itu dipindah
milik dan gagal, abai atau cuai untuk melaksanakan tanggungjawab member
nafkah kepada plaintif iaitu nafkah furu ' .

Plaintif menuntut defendan memberi nafkah sepanjang hayat dan dibenarkan
tinggal di rumah di Kampung Jiboi Baru seumur hidup selain diberi
kebebasan bergerak secara munasabah serta melakukan aktiviti masing-masing
dalam rumah itu serta persekitaran.

Malah, plaintif turut menuntut diberi kebebasan untuk dilawati anak lain
dan bersama dengan anak lain di rumah itu pada bila-bila masa yang
munasabah selama hayat mereka, defendan menghormati dan menjaga kebajikan
mereka serta relif yang difikir sesuai oleh mahkamah.

Bagaimanapun, Raja Suzana dan suami bersetuju memenuhi tuntutan ibu
bapanya pada tahun lalu terutama berkaitan nafkah sepanjang hayat dan
membenarkan mereka mendiami rumah berkenaan yang sudah dijual kepada orang
lain tetapi disewa semula Raja Suzana.

Hakim Syarie Mohd Nadzri Abg Rahman menetapkan 24 Februari ini untuk
membuat taksiran sama terhadap suami defendan.



=================================================
Firman Allah yang maksudnya: -

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya
telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal
mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah
dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan
kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali
(untuk menerima balasan).

=====================================================================

No comments:

Post a Comment